UCAPAN ALUAN
Y.B. SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI
SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI PERKHIDMATAN AWAM

PADA 9 FEBRUARI 2009
PUKUL 8.00 PAGI
AUDITORIUM TUN RAFFAE
MENARA TUN MUSTAPHA


Terima kasih Pengacara Majlis.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman,

Ketua Menteri Sabah                  
                                                          

Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin,

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan

Yang Berhormat Menteri-Menteri

Yang Berbahagia Datuk Ismail Haji Wadin,

Setiausaha Persekutuan Sabah

Yang Berhormat Timbalan Speaker

Yang Berhormat Pembantu-Pembantu Menteri

Ketua-Ketua Jabatan Negeri & Persekutuan

Datuk-Datuk, Datin-Datin

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.


Alhamdulillah, bersyukur kita  kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya kita dapat berhimpun pada pagi ini sempena Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Sabah.

Dengan penuh hormat dan takzimnya saya mengalu-alukan dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kehadiran Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah serta dif-dif jemputan ke majlis ini.

Pada setiap tahun, Perkhidmatan Awam akan menganjurkan acara yang dikenali sebagai Hari Kualiti. Sambutan acara ini yang biasanya kita adakan pada bulan November telah ditangguhkan penganjurannya pada hari ini dengan acara sambutan yang dikenali sebagai Hari Perkhidmatan Awam. Antara pengisian sambutan termasuklah penyampaian penghargaan kepada agensi-agensi yang telah mendapat pengiktirafan dan anugerah di peringkat antarabangsa, kebangsaan dan agensi yang memperolehi pencapaian MS ISO sepanjang tahun 2008. Selain itu kita juga telah memperkenalkan satu anugerah khas peringkat negeri. Di majlis ini juga, buku versi baru Perintah Am Negeri Sabah yang kini dikenali sebagai Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah akan dilancarkan. Buku ini digubal untuk menggantikan Perintah Am Negeri Sabah tahun 1982 dengan mengambilkira dasar-dasar semasa kerajaan khususnya pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia (SSM), penggunaan aplikasi ICT secara meluas, pengwujudan skim-skim perkhidmatan baru serta perubahan sistem pendidikan negara dari segi jenis peperiksaan.

Walaupun nama acara diubah kepada Sambutan Hari Perkhidmatan Awam namun konsep sambutannya turut memberikan penekanan kepada usaha-usaha memperkukuhkan nilai-nilai budaya kualiti dalam perkhidmatan awam, memberi pengiktirafan dan memperbaharui komitmen seluruh anggota perkhidmatan awam kepada usaha-usaha peningkatan kualiti.

Tema yang dipilih ialah ‘KREATIF DAN INOVATIF TANGANI CABARAN’. Selaras dengan tema ini, saya ingin mengajak seluruh anggota perkhidmatan awam untuk bersama-sama merubah budaya sedia ada kepada budaya kreatif dan inovatif demi untuk kecemerlangan perkhidmatan awam dan kesejahteraan rakyat sebagai pelanggan utama kita. Istilah kreatif dan Inovatif saling berkaitan antara satu sama lain dimana inovatif merupakan kebolehan untuk melahirkan idea-idea baru hasil pemikiran yang kreatif. Konsep ini bukanlah perkara baru dalam perkhidmatan awam malah kita juga mempunyai Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam berkaitan inovasi. Namun begitu, suasana persekitaran semasa menuntut kita untuk melihat kembali secara serius kedua-dua konsep berkenaan dan seterusnya menerapkan nilai tersebut dalam perkhidmatan awam.

 

Datuk-Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

SENARIO PERKHIDMATAN AWAM SEPANJANG TAHUN 2008

Saya bersyukur kerana perkhidmatan awam di negeri ini secara keseluruhannya telah menunjukkan prestasi yang membanggakan sepanjang tahun 2008. Kejayaan ini merupakan hasil usaha dan komitmen seluruh anggota perkhidmatan awam dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Sebagai sektor yang menjadi pemacu pembangunan, kita sememangnya berpuashati apabila melihat wujudnya perubahan ketara dalam landskap pembangunan di negeri ini hasil perancangan dan pelaksanaan program-program pembangunan.

Sebagai institusi yang merancang dan melaksana dasar-dasar kerajaan, perkhidmatan awam telah melaksanakan berbagai-bagai perubahan ke arah memperkasakan lagi fungsi dan peranannya. Ini termasuklah penyediaan perkhidmatan melalui aplikasi ICT, perubahan sistem dan prosedur, pindaan atau pengenalan undang-undang yang berkaitan dan sebagainya. Di samping itu, persekitaran tempat kerja yang selesa dan kondusif turut disediakan. Semua ini dilakukan dengan matlamat utamanya untuk memudahkan pelaksanaan kerja dan seterusnya membawa kepada perkhidmatan yang memenuhi tuntutan dan kepuasan hati pelanggan. Namun demikian, perkhidmatan awam tidak boleh berpuashati dengan setiap kejayaan yang telah dicapai. Ini disebabkan ukuran pencapaian kejayaan tersebut boleh berubah pada setiap masa manakala cabaran yang bakal dihadapi mungkin lebih rumit berbanding sebelumnya.

 

Datuk-Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

KREATIF DAN INOVATIF

Dalam era globalisasi serta krisis ekonomi global yang melanda seluruh dunia pada ketika ini, perkhidmatan awam tidak lagi boleh mengekalkan sistem sedia ada, yakni melaksanakan tugas-tugas rutin yang hanya menekankan kepada konsep kepuasan pelanggan semata-mata. Sebaliknya, anggota perkhidmatan awam perlu sentiasa kreatif dan inovatif dalam menangani cabaran-cabaran masakini dan akan datang. Perkhidmatan awam memerlukan anggota yang berkeupayaan untuk berfikir di luar kebiasaan, mampu menjangka dan mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi. Jika kita terus kekal dengan sistem sedia ada, negara kita akan tertinggal jauh di belakang kerana tidak mampu bersaing dengan negara-negara lain. Jika perkhidmatan awam atau agensi kerajaan tidak mampu menangani cabaran, ia boleh menyebabkan kewujudannya tidak lagi relevan dan akhirnya wujudlah senario yang digambarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, iaitu “you don’t do it well, other people will do it for you”.

Berdasarkan amalan semasa, setiap agensi menyediakan mekanisme untuk pelanggan mengemukakan cadangan dan aduan. Menerusi cadangan dan aduan pelanggan, agensi akan meneliti keperluan serta kesesuaian dan seterusnya melaksanakan penambahbaikan. Penambahbaikan yang dilaksanakan menerusi input daripada pelanggan bukanlah suatu perkara yang tidak baik malah kita sememangnya digalakkan untuk mendapatkan idea-idea baru dari pelbagai sumber. Namun demikian, amalan seumpama ini lebih berbentuk penyediaan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan semasa pelanggan. Ianya bersifat sementara. Perkhidmatan Awam sebenarnya boleh mengurangkan kebergantungan kepada input pelanggan di samping mengurangkan aduan-aduan negatif keatas Perkhidmatan Awam keseluruhannya menerusi keupayaan berfikir secara strategik dan keupayaan menjangkakan apakah bentuk perkhidmatan terbaik yang diinginkan oleh pelanggan pada masa hadapan. Jika ini dilakukan, perkhidmatan yang dianggap terbaik yang sepatutnya hanya perlu kita disediakan pada masa hadapan telahpun kita sediakan pada hari ini. Dengan kata lain, kita telah mendahului kehendak masa hadapan pelanggan.

Selain memiliki sifat atau budaya kreatif dan inovatif dalam menghadapi dan mengatasi cabaran, budaya ini juga perlu diterapkan agar anggota perkhidmatan awam berkebolehan menjana idea-idea baru untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya. Kejayaan organisasi kita seharusnya tidak lagi dinilai berdasarkan kejayaan melaksanakan program-program rutin sebagaimana ditetapkan setiap tahun. Kejayaan kita juga tidak harus dinilai berdasarkan pelaksanaan program-program kualiti semata-mata. Sebaliknya, ukuran kejayaan kita perlu didasarkan kepada keupayaan kita memperkenalkan perubahan, idea-idea dan program-program baru yang menjurus kepada kesejahteraan rakyat. Dan yang lebih penting, idea kreatif dan inovatif tersebut hendaklah menjadi realiti. Jika kita tidak berubah kepada budaya kreatif dan inovatif maka kita akan terus dibelenggu oleh budaya kerja dan pemikiran “Systems Maintenance”. Kita tidak lagi boleh kekal dan selesa dengan apa yang kita lakukan pada ketika ini yang hanya menumpukan kepada pelaksanaan tugas-tugas rutin. Anggota-anggota perkhidmatan awam perlu menyedari bahawa perkhidmatan awam merupakan agen perubahan dan keupayaan untuk membuat perubahan ini hanya boleh dilaksanakan menerusi pemikiran yang kreatif dan inovatif.     

Pada akhirnya, budaya pemikiran kreatif dan inovatif bukan hanya menjawab persoalan tentang tercapaikah sasaran kerja tahunan agensi? Sebaliknya, ia menjawab persoalan tentang apakah perubahan yang telah dibuat oleh agensi berkenaan yang membawa impak kepada kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

 
INTEGRITI

Keupayaan berfikir secara kreatif dan inovatif, memperkenalkan dan melaksanakan idea-idea baru tidak membawa sebarang manfaat sekiranya anggota perkhidmatan awam tidak memiliki nilai-nilai integriti yang tinggi. Konsep Integriti dalam bahasa yang mudah ialah keperibadian mulia yakni nilai-nilai yang unggul pada diri individu dan organisasi. Keperibadian mulia ini termasuklah sifat amanah, rajin, bertanggungjawab, menepati masa, berdisiplin dan semua sifat-sifat positif dalam diri seseorang individu. Ini bermakna nilai kreatif dan inovatif juga merupakan ciri-ciri integriti. Pegawai yang berintegriti merupakan pegawai yang melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya mengikut kepentingan umum.

Sebagai sebuah institusi yang besar, kita tidak menafikan terdapat segelintir anggota perkhidmatan awam yang masih belum memperlihatkan prestasi yang membanggakan. Walaupun bilangannya kecil tetapi golongan ini berpotensi mencemarkan imej perkhidmatan awam. Golongan ini boleh kita ibaratkan sebagai nila setitik yang boleh merosakkan susu sebelanga. Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua ketua jabatan agar sentiasa melaksanakan program-program integriti secara in-house yang berbentuk menerap nilai-nilai murni, mengikis amalan negatif dan memperkukuhkan nilai-nilai integriti sedia ada di kalangan anggota masing-masing. Kita juga perlu tegas melaksanakan tindakan tatatertib kepada anggota yang melanggar peraturan kerajaan.

 

Datuk-Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

KERJASAMA AGENSI NEGERI DAN PERSEKUTUAN

Kerjasama erat antara agensi-agensi negeri dan persekutuan di Sabah pada ketika ini turut menyumbang kepada kelancaran pelaksanaan projek-projek pembangunan. Dalam kesempatan ini saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Setiausaha Persekutuan Sabah dan semua agensi persekutuan atas kerjasama erat yang diberikan. Insyaallah, kerjasama erat ini akan berterusan demi untuk kesejahteraan penduduk di negeri ini khasnya dan negara amnya.

 

KETAATSETIAAN KEPADA KERAJAAN YANG MEMERINTAH

Pada kesempatan ini juga saya ingin mengulangi janji dan komitmen seluruh anggota perkhidmatan awam di negeri ini bahawa kami akan menumpukan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan yang memerintah. Sebagai institusi yang berkecuali, ketaatsetiaan kepada kerajaan yang memerintah merupakan prasyarat utama menjadi seorang anggota perkhidmatan awam.

 

Datuk-Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

PENUTUP

Saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah yang sudi hadir ke majlis ini. Ucapan terima kasih juga saya ucapkan atas kehadiran semua dif-dif jemputan, anggota-anggota perkhidmatan awam negeri dan persekutuan serta Badan-badan Berkanun negeri dan persekutuan. Demikian juga dengan pihak IDS yang menyampaikan taklimat tentang Koridor Pembangunan Sabah (SDC). Kita berpendapat taklimat ini amat penting agar anggota perkhidmatan awam dapat memahami konsep dan pelaksanaan SDC dengan lebih terperinci.

Kepada semua agensi yang mendapat anugerah di peringkat antarabangsa, kebangsaan dan persijilan MS ISO, saya ucapkan syabas dan tahniah. Semoga kejayaan ini akan menjadi pendorong kepada perkhidmatan awam keseluruhannya untuk mencapai kecemerlangan pada masa akan datang menerusi budaya kreatif dan inovatif.

Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Hari Perkhidmatan Awam khususnya kepada pihak urus setia yang diketuai oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri atas usaha gigih mereka sehingga majlis sambutan Hari Perkhidmatan Awam dapat dianjurkan dengan jayanya.

 

Sekian.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.