Selamat datang ke Portal Rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

     COVID-19  Malaysia.gov energy Sabah.gov  COVID-19  COVID-19
{Play}KOTA KINABALU, 14 Jun (Bernama) -- Perkhidmatan awam sama ada di jabatan Persekutuan mahupun negeri, perlu tampil dengan idea-idea lebih bernas, berani serta agresif bagi membuat penambahbaikan demi pembangunan Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata penjawat awam harus menjadikan tahun 2022 sebagai titik permulaan dalam lonjakan perubahan penetapan minda, cara proses kerja, komunikasi berkualiti dan lebih bermotivasi untuk menaikkan imej negeri Sabah.

Katanya hasrat itu sejajar dengan matlamat kerajaan negeri yang memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan negeri yang mesra pelabur bagi menarik pelaburan asing untuk datang ke Sabah.

"Langkah itu akan mendorong keyakinan komuniti pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan, sekaligus dapat meningkatkan kemajuan ekonomi negeri," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah (ISAS) 2021 dan pelancaran buku panduan Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu di sini hari ini.

Ketua Menteri berkata semua ketua jabatan Persekutuan mahupun negeri mesti menjadi contoh utama dalam perubahan ‘mindset’ anggota perkhidmatan awam agar Sabah menjadi contoh tauladan yang positif kepada perkhidmatan awam negeri lain.

Hajiji berkata perkhidmatan awam adalah tunjang pembangunan negeri dan menjadi penggerak utama dalam intipati pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 melalui modal insan dan kesejahteraan rakyat.

Justeru beliau berharap Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Persekutuan dapat mengadakan perbincangan dan membuat kolaborasi strategik bagi menjadikan 2022 sebagai lonjakan perubahan di negeri itu.

Sementara itu Hajiji berkata pelaksanaan program ISAS 2021 telah membudayakan inovasi iaitu menggunakan pendekatan secara hibrid dengan kaedah bersemuka dan secara dalam talian dipraktikkan mengikut kesesuaian keadaan.

Beliau turut berharap program inovasi itu dapat dikembangkan dengan mengadakan konvensyen inovasi negeri Sabah dengan kerjasama dan penglibatan perkhidmatan awam negeri serta Persekutuan yang akan menjadi pemacu kejayaan sektor awam Sabah.

"Kita harus menerima bahawa inovasi juga merupakan suatu anjakan paradigma kepada kemajuan dan kejayaan sesebuah negara yang mampu berdaya saing sehingga diperingkat global," katanya. - BERNAMA

sabah crest faviconPejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
Aras 28, Blok A, Menara Kinabalu,
88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Talian: 088-369900 088-369901
Faksimili: 088-211016
Navigasi Google Maps