Selamat datang ke Portal Rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

     COVID-19  Malaysia.gov energy Sabah.gov  COVID-19  COVID-19

Sabah Energy bayar RM9 Juta dividen kepada Kerajaan Negeri

{Play}KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menerima bayaran dividen sebanyak RM9 juta daripada Sabah Energy Corporation Sdn.Bhd. (SEC) bagi tahun kewangannya yang berakhir 31 Disember 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif SEC Datuk Harun Ismail semasa memberikan taklimat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata SEC dan kumpulan syarikatnya mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM42.7 juta bagi tahun 2021.

Katanya keuntungan itu lebih rendah daripada prestasi kumpulan pada tahun 2020 sebanyak RM50.6 juta.

“Keuntungan sebelum cukai anak syarikat milik penuh SEC, Asian Supply Base Sdn.Bhd. (ASB) bagi tahun 2021 menurun kepada RM17.7 juta, manakala keuntungan sebelum cukai SEC di peringkat syarikat ialah RM18.1 juta.

"Berbanding modal berbayar Kerajaan Negeri sebanyak RM299.9 juta, pelaburan semula keuntungan terkumpul selama ini menyebabkan Dana Pemegang Saham meningkat kepada lebih RM1 bilion pada akhir 2021.

"Sebagai tambahan kepada peningkatan nilai kepada pemegang sahamnya, SEC juga telah membayar dividen berjumlah RM231 juta kepada kerajaan sehingga kini", katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyerahkan dividen itu kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Mohd. Sofian Alfian Nair yang disaksikan Hajiji di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Pengerusi SEC, Datuk Anwar Ayuub @ Annuar Ayub dan Timbalannya Hassan A. Gani Pg.Amir.

Katanya SEC kekal dengan fokus untuk mengukuhkan portfolio perniagaannya dan mengekalkan keuntungan kumpulan.

“SEC akan terus menyediakan bekalan tenaga yang lebih baik, selamat, bersih, mampu milik dan boleh diakses oleh lebih ramai pemegang kepentingan dalam komuniti perniagaan di seluruh Sabah.

“SEC juga sudah memulakan projek tenaga boleh diperbaharui seperti Solar Skala Besar dan loji kuasa hidro sebagai sebahagian daripada usahanya menuju ke arah pelepasan karbon sifar bersih.

“SEC dan kumpulan syarikatnya akan kekal berdaya tahan dalam menyediakan produk dan perkhidmatannya berdasarkan rancangan korporat tiga tahunnya untuk menjadi penyedia tenaga yang bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri turut menyaksikan penyerahan sumbangan tajaan Biasiswa Yayasan Telekom Malaysia Berhad (YTM) ‘Future Leaders’ bernilai RM600,000 kepada Tabung Pendidikan Negeri Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Imri Mokhtar menyerahkan tajaan itu kepada Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Dr.Mohd.Arifin Mohd.Arif yang juga Pengerusi Tabung Pendidikan Sabah.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Tabung Pendidikan Sabah Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar, Ketua Pegawai Operasi TM Ir.Ts.Azizi A Hadi, Naib Presiden Regulatory and Engagement TM Meor Shahril Annuar Ahmad Rathuan dan Pengurus Besar Negeri TM Sabah Datuk Mohd Sainal Mohd.Amin.

sabah crest faviconPejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
Aras 28, Blok A, Menara Kinabalu,
88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Talian: 088-369900 088-369901
Faksimili: 088-211016
Navigasi Google Maps