Selamat datang ke Portal Rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

     COVID-19  Malaysia.gov energy Sabah.gov  LINKED IN LinkedIn

Aktiviti dan Peristiwa

Pelaksanaan inisiatif berdasarkan Kuasa Kawal Selia Bekalan Elektrik Sabah

19 Januari 2024 (Jumaat) - Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan melaksanakan setiap inisiatif yang telah dirangka berdasarkan Kuasa Kawal Selia Bekalan Elektrik Sabah yang kini dimiliki oleh Sabah, dengan sasaran yang ditetapkan dalam Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, Sabah akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pelaksanaan segala inisiatif bagi meningkatkan lagi prestasi bekalan elektrik di negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama dengan pihak Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dalam memudah cara dan memberikan sokongan dalam melaksanakan Pelan Transformasi SESB ke arah kemampanan syarikat utiliti tersebut.

“Kerajaan Negeri melalui Energy Commission of Sabah (ECoS) akan memastikan penglibatan secara langsung semua pemegang taruh di negeri Sabah bagi memastikan isu-isu semasa dapat ditangani dengan cara yang lebih berkesan dan mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Simbolik Penyerahan Kuasa Kawal Selia Bekalan Elektrik Sabah oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri di Bilik Mesyuarat Utama, Menara Kinabalu pada Jumaat.


Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga Dan Daya Guna Awam, Datuk Seri Fadillah Yusof mewakili Kerajaan Persekutuan secara simbolik menyerahkan kuasa berkenaan kepada Kerajaan Negeri Sabah.

Hajiji berkata, proses pengambilalihan Kuasa Kawal Selia Bekalan Elektrik dan Tenaga Boleh Baharu oleh Kerajaan Negeri telah disempurnakan selepas Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan Enakmen Tenaga Boleh Baharu diluluskan dalam persidangan khas Dewan Undangan Negeri Sabah pada 3 Januari lalu.

Sehubungan itu, beliau bagi pihak Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan proses pengambilalihan kuasa kawal selia dengan lancar dan teratur.

“Ini menunjukkan kesepakatan dan semangat kerjasama yang tinggi diantara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri”, tegasnya.

Hajiji juga menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas penyerahan tugas kuasa kawalselia bekalan elektrik Negeri Sabah kepada Kerajaan Negeri Sabah, penyerahan dokumen rasmi daripada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah dan penyerahan plaque projek siap daripada KUS kementerian kepada SKN Sabah.

“Semoga semua usaha ini akan membawa Sabah ke tahap bekalan tenaga yang berdaya harap demi kesejahteraan rakyat negeri ini”, tegasnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir.Shahelmey Yahya, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Datuk Ewon Benedick, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Dr Ching Thoo A/L Kim, Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Energy Commission of Sabah (ECoS), Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid.


Slide
YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

"Pengurangan karenah birokrasi dalam sistem dan prosedur kerja yang lama melalui pendigitalan perkhidmatan kerajaan akan membantu usaha membanteras rasuah, meningkatkan kecekapan serta menggalakkan perubahan sikap penjawat awam"

Bingkisan Integriti
sabah crest faviconPejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
Aras 28, Blok A, Menara Kinabalu,
88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Talian: 088-369900 088-369901
Faksimili: 088-211016
Navigasi Google Maps