Selamat datang ke Portal Rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

     COVID-19  Malaysia.gov energy Sabah.gov  LINKED IN LinkedIn

Peluang Pendidikan Selepas SPM

Peluang Pendidikan Selepas SPM

STPMPeluang Pendidikan Selepas SPM

Selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terdapat pelbagai peluang pendidikan yang boleh diambil oleh pelajar untuk melanjutkan pengajian mereka berdasarkan minat, bakat dan matlamat kerjaya. Sebelum memohon mana-mana program, pastikan untuk menyemak syarat kelayakan, tarikh tutup permohonan dan lain-lain maklumat penting yang berkaitan.

Perancangan awal adalah sangat digalakkan bagi memastikan anda mempunyai masa yang mencukupi untuk menyediakan dokumen yang diperlukan dan melengkapkan permohonan dengan baik.

  • Tingkatan Enam

    Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menepati syarat am dan syarat khas kemasukan layak ditawarkan secara automatik untuk meneruskan pengajian ke Tingkatan Enam.

    Syarat Am:

    • Lulus SPM dengan mendapat sekurang-kurangnya kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Melayu
    • Berumur antara 17 hingga 20 tahun pada 1 Januari tahun semasa

    Maklumat Lanjut berkaitan Syarat Khas Kemasukan, Tempoh Pengajian, Kurikulum dan Yuran Pengajian.

    Pendidikan Tingkatan Enam beroperasi di sekolah-sekolah menengah harian bantuan penuh kerajaan yang terpilih. Pendidikan Tingkatan Enam menawarkan dua bidang iaitu Sains dan Sains Sosial (Kemanusiaan dan Agama). Sebanyak 23 mata pelajaran ditawarkan di Tingkatan Enam namun calon dibenarkan mengambil maksimum lima mata pelajaran, termasuk Pengajian Am. Yuran peperiksaan adalah percuma bagi calon sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.


    Senarai Pakej Mata Pelajaran Yang Ditawarkan Mengikut Kolej/Pusat Tingkatan Enam

    Tempoh pengajian ialah selama tiga semester dan pentaksiran pencapaian pelajar dilakukan pada akhir setiap semester. Keputusan keseluruhan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) adalah berdasarkan gabungan keputusan terbaik bagi ketiga-tiga semester. Pelajar dibenarkan untuk memperbaiki keputusan peperiksaan melalui Peperiksaan Ulangan. STPM adalah setaraf dengan A-Level dan diiktiraf oleh Cambridge Assessment International Education, United Kingdom serta diterima pakai di peringkat antarabangsa. Sijil STPM diiktiraf setaraf dengan Diploma dan diterima oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menjawat perjawatan dalam perkhidmatan awam.

    Semakan Tawaran Permohonan dan Semakan Rayuan (sekiranya tidak ditawarkan dan ingin merayu)

  • Program Matrikulasi

    Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang layak boleh memohon untuk mengikuti Program Matrikulasi di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Program ini merupakan satu program persediaan bagi membangunkan potensi pelajar bumiputera melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti untuk melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di dalam dan di luar negara dalam bidang sains, teknologi dan profesional. 

    Jurusan pengajian yang ditawarkan:

    • Sains
    • Kejuruteraan
    • Perakaunan
    • Perakaunan Profesional

    Yuran pengajian dan penginapan adalah percuma, dan pelajar yang layak akan mendapat Bantuan Sara Hidup Pelajar (BSHP).

    Lulusan Sijil Matrikulasi KPM boleh memohon jawatan pada Gred 29 bagi skim perkhidmatan berkaitan dalam perkhidmatan awam.

    Syarat Am:

    • Umur tidak melebihi 20 tahun semasa memohon
    • Warganegara Malaysia
    • Pemohon mestilah calon SPM semasa

    Maklumat lanjut  berkaitan program, syarat  minimum kemasukan dan senarai  kolej matrikulasi

  • Program Asasi

    Program ASASI merupakan kursus pra-universiti yang bertujuan untuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan asas dan kemahiran untuk mengikuti ijazah sarjana muda dalam jurusan/bidang tertentu di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

    Senarai program ASASI dan IPTA yang menawarkannya boleh diperolehi di pautan e-Panduan UPU Online.


    Syarat Am Kemasukan ke ASASI:

    • Pemohon mestilah memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekurang-kurangnya:
    • Lima (Kepujian) dalam mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu
    • Lulus mata pelajaran Sejarah.

    Sebelum Permohonan:

    • Pastikan anda mengetahui jurusan/ bidang kerjaya yang bersesuaian dengan keperibadian dan minat anda.  Anda boleh membuat ujian di  e-Profiling KPT 
    • Pastikan anda mempunyai Nombor PIN yang boleh dibeli daripada Bank Simpanan Nasional.

    Permohonan ke ASASI boleh dibuat melalui: 

    Panduan untuk melengkapkan permohonon beserta maklumat terperinci berkaitan kursus.

    UPU Online   

  • Program Diploma

    Pelajar lepasan SPM juga boleh menyambung pengajian di peringkat diploma sama ada di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). 

    Pastikan anda mempunyai Nombor PIN yang boleh dibeli daripada Bank Simpanan Nasional.


    Permohonan Program Diploma di IPTA

    Permohonan Program Diploma di IPTA boleh dibuat melalui: UPU Online  

    Panduan untuk melengkapkan permohonon beserta maklumat terperinci berkaitan kursus.

    Syarat Am Kemasukan ke Program Diploma di IPTA:

    Pemohon mestilah memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekurang-kurangnya:

    • Tiga (Kepujian) dalam mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu
    • Lulus mata pelajaran Sejarah.

    Tempoh pengajian adalah di antara 2 – 3 tahun dan sesetengah program diploma boleh memindahkan kredit subjek-subjek tertentu sewaktu Ijazah Sarjana Muda.


    Permohonan Program Diploma / Foundation di IPTS

    Permohonan ke IPTS boleh dibuat melalui portal institusi pengajian tersebut. 

    Maklumat dan permohonan ke IPTS juga boleh diperolehi melalui penyedia perkhidmatan swasta.

    Bagi membantu pelajar membuat pemilihan yang tepat dalam memilih IPTS, pelajar disaran untuk membuat semakan IPTS yang berdaftar dengan KPT bagi memastikan kursus pengajian yang dipohon telah mendapat sama ada akreditasi penuh dari MQA atau akreditasi sementara dari MQA.

  • Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)

    Sekiranya anda berminat untuk meneruskan kerjaya sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Guru), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempelawa calon-calon yang SPM yang berkelayakan untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dalam bidang-bidang yang berkaitan.

    Tempoh pengajian adalah 1 tahun bagi persediaan (3 semester) dan 4 tahun untuk ijazah (12 semester). Mod pengajian adalah sepenuh masa dan di bawah tajaan KPM.

    Maklumat lanjut dan permohonan boleh dibuat melalui Portal PISMP  

  • Program Pelajar Cemerlang (PPC) ke Luar Negara

    Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut mempelawa calon-calon yang SPM yang berkelayakan untuk mengikuti Program Pelajar Cemerlang (PPC) ke luar negara dalam bidang-bidang yang berkaitan dan ingin meneruskan kerjaya sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Guru).

    Tempoh pengajian adalah 4 tahun untuk ijazah di universiti   luar negara dan 1 tahun Program Pascasiswazah Pendidikan di Institut Pengajian Guru (IPG). Mod pengajian adalah sepenuh masa dan di bawah tajaan KPM.

    Maklumat lanjut dan permohonan boleh dibuat melalui  Portal PISMP  

  • Program Pra Diploma UiTM

    Program Pra Diploma Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah program pra-universiti yang bertujuan untuk mempersiapkan pelajar bagi melanjutkan pengajian di peringkat diploma. Program ini ditawarkan kepada anak-anak Melayu, Orang Asli dan Anak Negeri Sabah/Sarawak di bandar dan luar bandar yang tidak memenuhi syarat langsung untuk mendaftar ke program diploma.

    Calon yang layak memohon: Lepasan SPM tahun semasa & 5 tahun ke belakang, contoh: 2023 (tahun semasa), 2022, 2021, 2020, 2019, 2018.

    Program yang ditawarkan:-

    • Pra Diploma Perdagangan
    • Pra Diploma Sains
    • Pra Diploma Sains (Aliran STEM C & Sastera)
    • Pra Diploma Agroteknologi 
    • Pra Diploma Pengajian Islam

    Laluan Khas

    i) Laluan Orang Asli

    • Khas untuk anak-anak berketurunan Orang Asli. Yuran Pengajian ditanggung sepenuhnya oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA)

    ii) Laluan Atlet

    • Anak Melayu, Orang Asli dan Anak negeri Sabah/Sarawak di bandar & luar bandar yang aktif penglibatan dan cemerlang dalam sukan. Pencapaian sekurang-kurangnya di peringkat Negeri.

    iii) Laluan OKU

    • Anak Melayu, Orang Asli dan Anak negeri Sabah/Sarawak di bandar & luar bandar yang berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU).

    Maklumat lanjut berkaitan proses permohonan, syarat kemasukan, tempoh pengajian, kurikulum, yuran pengajian dan takwim.

  • Program Profesional UiTM

    Universiti Teknologi MARA (UiTM) menawarkan beberapa program professional dalam bidang perakaunan dan pengurusan perniagaan bagi. Program ini ditawarkan kepada anak-anak Melayu, Orang Asli dan Anak Negeri Sabah/Sarawak.

    1. ACCA Foundation in Accountancy (ACCA FIA)
    2. The Association of Chartered Certified Accountants (UK)(ACCA)
    3. Chartered Institute of Marketing (CIM)(UK)
    4. Chartered Institute of Logistics and Transport (UK)(CILT)

    Pastikan anda mempunyai Nombor PIN yang boleh dibeli daripada Bank Simpanan Nasional.

    Permohonan Program Profesional UiTM boleh dibuat melalui : Permohonan  Program Profesional UiTM  

  • Program Diploma di Akademi Laut Malaysia (ALAM)

    Sekiranya anda berminat untuk menceburi bidang perkapalan sebagai pegawai navigasi atau jurutera marin, Akademi Laut Malaysia (ALAM) menawarkan Program Diploma Pengajian Nautika dan Kejuruteraan Marin.

    Graduan ALAM berpeluang untuk belayar ke serata dunia di atas kapal syarikat perkapalan/ organisasi maritime beserta gaji yang lumayan beserta faedah pekerjaan yang menarik.

    Maklumat lanjut dan permohonan boleh dibuat melalui Portal ALAM  

  • Program Pra-Universiti Antarabangsa

    Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh memilih untuk memasuki Program Pra-Universiti Antarabangsa yang popular seperti A-Level, Australian Matriculation (AUSMAT), Canadian Matriculation (CIMP), American Degree Transfer Program (ADTP) dan banyak lagi. Program ini banyak ditawarkan di institusi-institusi pendidikan swasta (IPTS).

    Maklumat dan permohonan ke program-program ini boleh dibuat terus  melalui penyedia perkhidmatan swasta. 


Peluang Penajaan
Lepasan SPM yang layak dan memenuhi syarat berpeluang untuk mendapatkan penajaan berbentuk biasiswa/pinjaman pendidikan/bantuan kewangan daripada institusi kerajaan, syarikat korporat, yayasan, universiti dan lain-lain entiti.

Slide
YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

"Pengurangan karenah birokrasi dalam sistem dan prosedur kerja yang lama melalui pendigitalan perkhidmatan kerajaan akan membantu usaha membanteras rasuah, meningkatkan kecekapan serta menggalakkan perubahan sikap penjawat awam"

Bingkisan Integriti
sabah crest faviconPejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
Aras 28, Blok A, Menara Kinabalu,
88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Talian: 088-369900 088-369901
Faksimili: 088-211016
Navigasi Google Maps