Selamat datang ke Portal Rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

     COVID-19  Malaysia.gov energy Sabah.gov  LINKED IN LinkedIn

Aktiviti dan Peristiwa

Ketua Menteri arah 76 badan berkanun negeri dan GIC segera tubuh IGU

{Play}KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengarahkan 76 Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GIC) yang belum menubuhkan Unit Integriti dan Governans (IGU) untuk bertindak segera dalam tempoh tiga bulan hingga Disember ini.

Beliau menegaskan, penubuhan unit itu penting kerana setakat ini hanya sembilan daripada 85 Badan Berkanun Negeri dan GIC, yang telah menubuhkan unit berkenaan di agensi masing-masing.

“Justeru, saya mengarahkan 76 lagi Badan Berkanun Negeri dan GIC yang belum menubuhkan IGU untuk mengambil perhatian yang serius dan saya hanya beri tempoh hingga bulan Disember tahun ini untuk menubuhkan unit di agensi masing-masing,” katanya ketika merasmikan Hari Integriti Negeri Sabah Tahun 2022 di Auditorium Utama, Menara Kinabalu, di sini hari ini.

Sembilan Badan Berkanun Negeri dan GIC yang sudah menubuhkan unit berkenaan iaitu Lembaga Industri Getah Negeri Sabah; Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA); Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah; Perbadanan Pinjaman Sabah; Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO); Kumpulan Yayasan Sabah; Sabah Urban Development Corporation Sdn. Bhd. (SUDC); Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah; dan Lembaga Pelancongan Sabah.

Kerajaan Negeri telah mengeluarkan arahan bertarikh 12 November 2019 kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terkini dirujuk sebagai “Syarikat Berkepentingan Kerajaan (Government Interest Company)” untuk menubuhkan IGU dalam tempoh dua tahun daripada tarikh arahan dikeluarkan.

Hajiji berkata, penubuhan unit ini penting agar budaya kerja yang berintegriti diamalkan dalam perkhidnatan dengan telus, tiada kepentingan, tiada unsur salah guna kuasa dan patuh kepada peraturan serta undang-undang yang berkuatkuasa.

“Tanggungjawab ini perlu digalas sebaiknya oleh 20,920 penjawat awam negeri; dan 107,097 Persekutuan di Sabah. Ini juga (iintegriti) yang dituntut oleh kira-kira 3.4 juta rakyat Malaysia di Sabah. Ketirisan integriti yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan seharusnya tidak berlaku sekiranya semua inisiatif kerajaan dan budaya kerja berintegriti dipatuhi,” katanya.

Ketua Menteri turut mengarahkan semua 17 jabatan di bawah Jabatan Ketua Menteri dikehendaki membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) masing-masing dengan tempoh diberikan sehingga bulan Disember 2022.

“Manakala, semua 11 Kementerian telah berjaya membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi masing-masing. Pelan Antirasuah Jabatan Ketua Menteri, Kementerian, Jabatan dan agensi kerajaan negeri merupakan dasar antirasuah yang mencerminkan hasrat murni dan komitmen untuk membanteras rasuah dalam perkhidmatan pentadbiran kerajaan.

“Saya mahu semua jabatan, Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun Negeri yang belum membangunkan Pelan Antirasuah diberikan tempoh sehingga bulan Disember 2023. GIC digalakkan untuk membangunkan Pelan Antirasuah dan mendapatkan pensijilan Anti Bribery Management System (ABM,” kata Hajiji.

Ketua Menteri turut menetapkan agar status pembangunan Pelan Antirasuah dan pelaksanaan ABMS dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri selain mahu semua Ketua Jabatan memainkan peranan proaktif bagi memastikan agensi di bawah kawalan masing-masing membangunkan Pelan Antirasuah.

Hajiji berkata, dalam usaha mengekang ketirisan hasil Kerajaan Negeri dari terus berlaku, satu Pasukan Petugas (Task Force) yang terdiri daripada Kementerian Kewangan Negeri Sabah; Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia; dan Malaysian Palm Oil Berhad dibentuk bagi tujuan mengutip semua cukai jualan yang gagal dibayar sebelum ini.

“Kerugian yang ditanggung sekiranya berlaku atas sebab ketirisan, salahguna kuasa dan pembaziran, maka ia perlu diberikan perhatian serius oleh semua peringkat kementerian, jabatan dan agensi di negeri Sabah,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Negeri sudah memulakan inisiatif Menyelesaikan Isu- isu Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan hasil inisiatif ini sebanyak 63 daripada 116 isu teguran audit berjaya diselesaikan sepanjang tempoh Januari 2021 hingga 25 Ogos 2022.

Penganjuran Hari Integriti Negeri Sabah adalah salah satu inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) (2021-2025) dan sempena sambutan itu, Ketua Mehteri turut melancarkan Buku Semakan Semula Pelan Antirasuah Jabatan Ketua Menteri (PAR JKM) 2019-2023.

Buku Semakan Semula ini mengandungi 20 inisiatif yang telah ditambah baik seiring dengan hala tuju dan agenda Kerajaan ke arah pengukuhan integriti, antirasuah dan tadbir urus baik.

Slide
YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

"Pengurangan karenah birokrasi dalam sistem dan prosedur kerja yang lama melalui pendigitalan perkhidmatan kerajaan akan membantu usaha membanteras rasuah, meningkatkan kecekapan serta menggalakkan perubahan sikap penjawat awam"

Bingkisan Integriti
sabah crest faviconPejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
Aras 28, Blok A, Menara Kinabalu,
88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Talian: 088-369900 088-369901
Faksimili: 088-211016
Navigasi Google Maps