Selamat datang ke Portal Rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

     COVID-19  Malaysia.gov energy Sabah.gov  LINKED IN LinkedIn

Aktiviti dan Peristiwa

Ukhuwah Ramadan diperkukuh dalam Majlis Berbuka Puasa Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah bersama warga Jabatan Ketua Menteri Perdana

Kota Kinabalu, 8 Mac 2026 – Suasana penuh kemesraan dan semangat ukhuwah terserlah dalam Majlis Berbuka Puasa Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah bersama kakitangan serta Ketua-Ketua Jabatan di bawah Jabatan Ketua Menteri Perdana yang berlangsung di The Pacific Sutera, Kota Kinabalu, pada Ahad.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah bersama isteri, Yang Berbahagia Datin Seri Panglima Datuk Hajah Nuinda Binti Haji Alias.

Turut hadir ialah Yang Berbahagia Datuk Dr. Ahemad Sade, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) bersama isteri Yang Berbahagia Datin Shuhadah Binti Mustapha, serta Sahibus Samahah Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz bin Haji Jaafar, Mufti Kerajaan Negeri Sabah.

Selain itu, majlis turut dihadiri oleh Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian, ketua-ketua jabatan serta wakil-wakil jabatan di bawah Jabatan Ketua Menteri.

Majlis ini diselaraskan oleh Yang Berbahagia Puan Samsakiah Jamil, Ketua Penolong Setiausaha Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Majlis Berbuka Puasa Bersama Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Program dimulakan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah yang mengingatkan para hadirin mengenai kepentingan menghayati nilai kesederhanaan, kesyukuran serta memperkukuh hubungan sesama insan sepanjang bulan Ramadan yang mulia.

Setelah itu, para tetamu bersama-sama berbuka puasa dalam suasana harmoni sebelum meneruskan dengan solat fardu Maghrib secara berjemaah.

Pengisian kerohanian diteruskan dengan solat Isyak dan solat sunat Terawih berjemaah, sekali gus mengimarahkan lagi suasana Ramadan dalam kalangan warga perkhidmatan awam negeri.

Majlis kemudiannya diakhiri dengan sesi moreh dan ramah mesra, memberi peluang kepada para tetamu untuk berinteraksi secara santai serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kepimpinan tertinggi pentadbiran negeri dengan warga jabatan.

Penganjuran majlis seumpama ini bukan sahaja mengimarahkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh semangat kebersamaan, kesepaduan serta kerjasama dalam kalangan warga Jabatan Ketua Menteri demi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus diperkasa.



BINGKISAN INTEGRITI YB SKN
YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

"Pengurangan karenah birokrasi dalam sistem dan prosedur kerja yang lama melalui pendigitalan perkhidmatan kerajaan akan membantu usaha membanteras rasuah, meningkatkan kecekapan serta menggalakkan perubahan sikap penjawat awam"

Bingkisan Integriti
sabah crest faviconPejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
Aras 28, Blok A, Menara Kinabalu,
88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Talian: 088-369900 088-369901
Faksimili: 088-211016
Navigasi Google Maps