Selamat datang ke Portal Rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

     COVID-19  Malaysia.gov energy Sabah.gov  LINKED IN LinkedIn

Aktiviti dan Peristiwa

Tun Juhar lafaz sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Sabah

01 Januari 2023 - Kota Kinabalu: Tun Juhar Mahiruddin melafazkan sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Sabah bagi penggal keempat dalam satu istiadat di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.

Terdahulu Tun Juhar yang diiringi isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni tiba di Dewan Istiadat pada 10.30 pagi sebelum melafazkan sumpah jawatan itu kira-kira 10 minit kemudian.

Tun Juhar kemudian menandatangani surat sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Sabah disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, sebelum Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan ucapan tahniah dan lafaz ikrar taat setia.

Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @Aziz Jaafar kemudian membacakan doa memohon kesejahteraan negeri di bawah naungan Tun Juhar, sebelum Yang Dipertua Negeri Sabah itu meninggalkan istiadat pada jam 11 pagi.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong.

Pada 23 Disember lalu, Tun Juhar menerima Surat Cara Pelantikan bagi menyambung khidmatnya sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah bagi tempoh dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Tun Juhar, 69, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10 pada 1 Jan 2011 bagi menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah.

Sementara itu, Hajiji dalam ucapan tahniah dan lafaz ikrar taat setianya berkata berkat bimbingan Tun Juhar, Sabah kini dalam landasan yang tepat bagi memperkasa pertumbuhan ekonomi dan merancakkan pembangunan melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 (2021 hingga 2025).

"Pelaksanaan pelan pembangunan yang komprehensif dan holistik ini telah menampakkan impak positif antaranya nilai pelaburan asing dan domestik semakin bertambah, perkembangan positif sektor pelancongan serta pelaksanaan program pembangunan di semua sektor," katanya.

Katanya beliau penuh yakin Sabah akan terus menikmati kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran di bawah naungan Tun Juhar sebagai simbol perpaduan pemimpin dan rakyat berbilang latar belakang di negeri ini.

Hajiji berkata bagi pihak pemimpin serta rakyat negeri Sabah, beliau mengucapkan tahniah dan melafazkan ikrar taat setia kepada Tun Juhar sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.

Slide
YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

"Pengurangan karenah birokrasi dalam sistem dan prosedur kerja yang lama melalui pendigitalan perkhidmatan kerajaan akan membantu usaha membanteras rasuah, meningkatkan kecekapan serta menggalakkan perubahan sikap penjawat awam"

Bingkisan Integriti
sabah crest faviconPejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
Aras 28, Blok A, Menara Kinabalu,
88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Talian: 088-369900 088-369901
Faksimili: 088-211016
Navigasi Google Maps