Selamat datang ke Portal Rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

     COVID-19  Malaysia.gov energy Sabah.gov  LINKED IN LinkedIn

Aktiviti dan Peristiwa

Prestasi Seluruh Pelabuhan di Sabah Memuaskan: YAB Ketua Menteri Sabah

12 Disember 2023 (Selasa) - Kota Kinabalu: Operasi pelabuhan di seluruh Sabah mencatat prestasi yang memuaskan dengan perdagangan kontena mengalami pertumbuhan yang positif.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, jumlah pengendalian kontena di Sepanggar Bay Container Port (SBCP), Pelabuhan Kontena Tawau dan Sandakan mengalami pertumbuhan yang baik pada 2021 dan 2022.

Katanya, tunggakan rantaian bekalan yang berlaku semasa tahun-tahun pandemik pada 2019 dan 2020 menyebabkan perdagangan mengalami penurunan. 

Bagaimanapun jelasnya, tahun ini jumlah pengendalian kontena di pelabuhan SBCP, Tawau dan Sandakan kembali pulih ke tahap pra-pandemik dengan sebanyak 355,574 unit bersamaan 20 kaki (TEU) dikendalikan dari bulan Januari hingga Oktober 2023.

“Walaupun ia mencatat penurunan sebanyak negatif enam  peratus berbanding dengan 378,398 TEU dalam tempoh yang sama pada 2022, namun jika dibandingkan dengan pada pra-pandemik 2018, jumlah pengendalian kontena untuk 10 bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak 9 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Pelabuhan 55 Tahun Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) di sini Selasa lepas. Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya.

Katanya, perkembangan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) melibatkan dua kilang industri besar iaitu SBH Kibing dan SK Nexilis, memberikan impak positif terhadap pengendalian pelabuhan serta menyumbang kepada kemasukan import kontena pada 2022 dan 2023. 

“Ia dijangka menyumbang kepada impak pada jangka masa panjang dan bakal menyumbang kepada pertumbuhan daya pengeluaran dan eksport di pelabuhan, terutamanya untuk pelabuhan SBCP.

“Menerusi potensi kerjasama strategik di antara Sabah Port Sdn. Bhd (SPSB) dan syarikat logistik multinasional yang berpangkalan di Dubai-DP World, akan melonjakkan pembangunan dan pertumbuhan yang progresif dalam perkhidmatan dan operasi pelabuhan di SBCP," jelasnya.

Hajiji berkata, LPPP perlu sentiasa memastikan kemudahan infrastruktur di semua pelabuhan seluruh Sabah sentiasa berada pada tahap yang baik, kerana ia antara pintu masuk utama perdagangan negara dan pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri Sabah.

“Justeru kita merasa bangga dengan beberapa perancangan dan perlaksanaan yang dibuat oleh SPSB untuk menaik taraf serta menambah baik infrastruktur kemudahan pelabuhan di seluruh Sabah.

“Antaranya melibatkan penambahan jeti minyak di Terminal Minyak Teluk Sepanggar, pembinaan jeti minyak baru di Pelabuhan Lahad Datu, pembinaan Terminal Kargo Konvensional Teluk Sapangar, pembinaan Pejabat CIQS di Pelabuhan Lahad Datu dan pembinaan kawasan tambahan untuk penyimpanan kenderaan RO-RO di SBCP," katanya.

Beliau berkata, LPPS turut melakar sejarah dengan Pelancaran Pelabuhan POIC Lahad Datu pada 5 September 2022, yang merancakkan lagi kegiatan ekonomi negeri Sabah khususnya dalam sektor pembuatan, perkhidmatan logistik serta sokongan kepada operasi eksport dan import.

Menurutnya, kerajaan negeri dalam Belanjawan Negeri 2024 memperuntukkan sebanyak RM25.24 juta bagi menyediakan perkhidmatan kawalan dan penjagaan keselamatan lalu lintas perairan serta pembangunan kemudahan pelabuhan di seluruh Sabah. 

“Selain itu kemudahan peralatan penentu kedudukan di menara-menara kawalan di bawah seliaan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga juga akan dinaik taraf bagi memastikan proses kawalan dan pemantauan trafik perkapalan di beberapa had pelabuhan (port limit) yang aktif bagi mengelakkan insiden kemalangan dalam kawasan pelabuhan," katanya.

YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah telah menghadiri majlis ini yang diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC).

Slide
YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

"Pengurangan karenah birokrasi dalam sistem dan prosedur kerja yang lama melalui pendigitalan perkhidmatan kerajaan akan membantu usaha membanteras rasuah, meningkatkan kecekapan serta menggalakkan perubahan sikap penjawat awam"

Bingkisan Integriti
sabah crest faviconPejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
Aras 28, Blok A, Menara Kinabalu,
88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Talian: 088-369900 088-369901
Faksimili: 088-211016
Navigasi Google Maps