Selamat datang ke Portal Rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

     COVID-19  Malaysia.gov energy Sabah.gov  LINKED IN LinkedIn

Aktiviti dan Peristiwa

Sidang Khas Dewan Undangan Negeri Luluskan Tiga Rang Undang-Undang Ambil Alih Kawal Selia Bekalan Elektrik

03 Januari 2024 (Rabu) - Kota Kinabalu: Persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan tiga rang undang-undang (RUU) berkaitan pengambilalihan kuasa kawal selia tenaga dan bekalan elektrik oleh kerajaan negeri daripada kerajaan Persekutuan.

RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024, RUU Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan RUU Bekalan Elektrik 2024 itu diluluskan dengan suara terbanyak.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ketika membentangkan RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024 berkata pindaan itu bertujuan memasukkan fungsi dan kuasa mengenai bekalan elektrik serta tenaga boleh baharu kepada pihak Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Beliau berkata ia bagi mengambil alih fungsi dan kuasa daripada Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

“Dengan ini, ia akan memberi kuasa kepada ECoS untuk mengawal selia industri bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu di Sabah agar segala aktiviti berkaitan bekalan elektrik serta tenaga boleh baharu dapat dijalankan secara berterusan tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Membentangkan RUU Bekalan Elektrik 2024, Hajiji berkata kerajaan Sabah mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas daratan pada 10 Jan tahun lepas dengan kuasa kawal selia itu diberikan kepada ECoS dan ia diteruskan dengan pengambilalihan fungsi kuasa kawal selia bekalan elektrik daripada kerajaan Persekutuan.

Menurut Hajiji langkah itu selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan RUU Bekalan Elektrik 2024 itu membolehkan kuasa kawal selia bekalan elektrik di Sabah dapat diambil alih sewajarnya serta RUU itu akan ditadbir serta dikuatkuasakan oleh ECoS.

Beliau berkata RUU berkenaan akan memberi kuasa kepada kerajaan Sabah untuk mengawal selia sektor pembekalan elektrik di negeri itu supaya segala aktiviti sektor pembekalan elektrik dijalankan dapat dikawal sekali gus dilaksanakan secara efektif dan efisien.

Mengenai RUU Tenaga Boleh Baharu 2024, Hajiji berkata ia akan memberi kuasa kepada kerajaan Sabah untuk mengawal selia sektor tenaga boleh baharu di negeri itu bagi memastikan aktiviti dijalankan melibatkan sektor itu dapat dikawal dan dilaksanakan.

“Ini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan tenaga boleh baharu khususnya di Sabah,” katanya.

Hajiji berkata RUU itu antara lain memperuntukkan kuasa dimiliki ECoS dalam mengumpulkan maklumat serta kesalahan kerana tidak mematuhi arahan dikeluarkan badan itu, selain menerangkan penguatkuasaan merangkumi tatacara kompaun, penyiasatan dan pendakwaan serta pegawai diberi kuasa.

Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya kemudian menangguhkan persidangan itu ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Slide
YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

"Pengurangan karenah birokrasi dalam sistem dan prosedur kerja yang lama melalui pendigitalan perkhidmatan kerajaan akan membantu usaha membanteras rasuah, meningkatkan kecekapan serta menggalakkan perubahan sikap penjawat awam"

Bingkisan Integriti
sabah crest faviconPejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
Aras 28, Blok A, Menara Kinabalu,
88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Talian: 088-369900 088-369901
Faksimili: 088-211016
Navigasi Google Maps