Selamat datang ke Portal Rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

     COVID-19  Malaysia.gov energy Sabah.gov  LINKED IN LinkedIn

Aktiviti dan Peristiwa

Simposium Tatakelola Baik Nasional dan majlis peluncuran “Arahan YAB Perdana Menteri No.1 Tahun 2023: Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional”

08 Januari 2024 (Isnin) - Sepang: YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2023 Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional: Penubuhan Jawatankuasa Tatakelola Di Peringkat Persekutuan, Negeri dan Kementerian/Jabatan/Agensi Kerajaan selaras usaha membangunkan negara Malaysia yang berintegriti dan bebas rasuah.

Pelancaran itu diadakan sempena Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 yang turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki di Hotel Sama-Sama KLIA di sini, hari ini.

Datuk Seri Anwar menyeru setiap pemimpin dan ketua di peringkat kementerian, kerajaan negeri serta jabatan dan agensi termasuk badan berkanun serta syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) untuk memainkan peranan masing-masing dalam memerangi rasuah melalui amalan tatakelola baik.

“Kerajaan memandang serius isu ketirisan oleh pemimpin tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan rakyat tidak dapat menikmati manfaat sewajarnya.

“Sehubungan itu, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat unsur rasuah dan penyelewengan dalam sistem pentadbiran kerajaan,” katanya.
Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2023: Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional itu menggariskan struktur pelaksanaan tatakelola yang lebih komprehensif dalam pentadbiran kerajaan supaya tindakan segera, berfokus dan lebih berkesan dapat diambil oleh semua kementerian, jabatan serta agensi termasuk badan berkanun dalam menangani kelemahan tatakelola selain isu-isu rasuah atau integriti.

Sementara itu, Tan Sri Dato’ Sri Azam dalam ucapannya berkata, penganjuran Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 bertemakan ‘Tatakelola Baik Aspirasi Negara Madani’ adalah sejajar dengan gagasan Malaysia Madani yang meletakkan kerangka ikhtiar bagi mengembalikan martabat negara melalui teras pembangunan nilai etika dan akhlak masyarakat.
“Diharapkan objektif simposium ke arah memperkukuh tatakelola baik bagi menjayakan agenda pembudayaan integriti dan antirasuah nasional dapat direalisasikan.

“Warga kerja yang berkualiti hasil daripada amalan integriti dan tatakelola baik merupakan aset penting dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi dan negara,” katanya.

Pada simposium ini, turut diadakan forum bertajuk ‘Memartabatkan Integriti Sektor Awam Melalui Pemantapan Tatakelola Baik Nasional Asas Kemajuan Malaysia Madani’ yang menampilkan barisan tokoh iaitu Mantan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; Mantan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation, Datuk Dr Hafsah Hashim dan Pengarah yang juga Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Simposium ini dianjurkan oleh Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), SPRM dengan kerjasama Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO).
BINGKISAN INTEGRITI YB SKN
YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

"Pengurangan karenah birokrasi dalam sistem dan prosedur kerja yang lama melalui pendigitalan perkhidmatan kerajaan akan membantu usaha membanteras rasuah, meningkatkan kecekapan serta menggalakkan perubahan sikap penjawat awam"

Bingkisan Integriti
sabah crest faviconPejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
Aras 28, Blok A, Menara Kinabalu,
88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Talian: 088-369900 088-369901
Faksimili: 088-211016
Navigasi Google Maps