Selamat datang ke Portal Rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

     COVID-19  Malaysia.gov energy Sabah.gov  LINKED IN LinkedIn

Aktiviti dan Peristiwa

Sabah Akan Gunakan Sepenuhnya Teknologi Hijau

09 Januari 2024 (Selasa) - Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Sabah kini dalam transformasi untuk menerima pakai sepenuhnya revolusi teknologi hijau dengan projek keluli hijau bernilai RM20 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Menyaksikan majlis penyerahan Perjanjian Induk atau Heads of Agreement daripada Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) kepada Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (Esteel Sabah) bagi pembekalan 150 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) gas asli di Menara Kinabalu hari ini, beliau berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan pelaburan dalam produk yang memanfaatkan tenaga boleh baharu, penambahbaikkan pengurusan sisa dan menggalakkan penyelesaian yang mampan.

“Melabur dalam produk berasaskan teknologi hijau bukan sahaja sejajar dengan matlamat kemampanan global tetapi juga memanfaatkan pasaran yang berkembang pesat untuk penyelesaian mesra alam,” katanya.

Hajiji mengulangi perkara yang dibangkitkannya pada Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China (GCET) di Shenzen, China, pada November lalu bahawa Sabah telah mengenal pasti beberapa industri utama yang bukan sahaja menjanjikan pulangan yang besar ke atas pelaburan tetapi juga menyumbang kepada masa hadapan yang lebih mampan dan makmur.
“Ini menandakan keyakinan Sabah terhadap projek keluli hijau, yang juga adalah antara pelaburan yang mewakili asas pertumbuhan ekonomi dan strategi pembangunan negeri.”

Menerusi perjanjian itu, SEC akan membekalkan 100 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) gas asli kepada kilang pembuatan keluli Esteel Sabah dan tambahan 50 mmscfd untuk penjanaan kuasa loji itu dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Sumbangan penting SEC kepada projek ini menyerlahkan peranan pentingnya dalam mempromosikan inisiatif mampan dan memupuk pembangunan wilayah, tambahnya.

Projek Keluli Hijau adalah projek membabitkan tiga fasa yang memilih gas asli sebagai agen pengurangan berbanding kok dan arang batu, mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 70 peratus dan menjadikannya rendah karbon, cekap dan mesra alam.

Esteel Enterprise Sabah, anak syarikat Green Esteel Pte Ltd Singapura, telah menandatangani perjanjian pajakan tanah dengan Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) untuk menubuhkan kilang pembuatan di SOGIP di Sipitang pada November 2022.

Fasa 1 projek ini, dengan anggaran kos sebanyak USD1.93 bilion, dijangka bermula tahun ini dan siap menjelang 2026.

Projek ini dijangka mewujudkan kira-kira 2,795 peluang pekerjaan semasa fasa operasinya.

Mewakili SEC pada majlis penyerahan Perjanjian Induk ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adzmir Abd. Rahman, manakala ESTEEL Sabah diwakili Pengarah Urusan, Xu Yihang.

Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe; Pengerusi SEC, Datuk Annuar Ayub; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, dan Ketua Pegawai Executive SOGDC, Datuk Harun Ismail.
BINGKISAN INTEGRITI YB SKN
YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

"Pengurangan karenah birokrasi dalam sistem dan prosedur kerja yang lama melalui pendigitalan perkhidmatan kerajaan akan membantu usaha membanteras rasuah, meningkatkan kecekapan serta menggalakkan perubahan sikap penjawat awam"

Bingkisan Integriti
sabah crest faviconPejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
Aras 28, Blok A, Menara Kinabalu,
88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Talian: 088-369900 088-369901
Faksimili: 088-211016
Navigasi Google Maps