Kota Kinabalu, 25 November 2024 (Isnin) – YBhg. Laksamana Madya Datuk Hj Muhammad Ruzelme bin Hj Ahmad Fahimy, Panglima Armada Timur, hari ini mengadakan kunjungan hormat perpisahan kepada YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, di pejabat beliau di Aras 28, Blok A, Menara Kinabalu.
Dalam kunjungan tersebut, beliau menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri Sabah atas sokongan dan kerjasama erat yang terjalin sepanjang tempoh perkhidmatannya, khususnya dalam meningkatkan keselamatan maritim di perairan timur Sabah.
YB Datuk Seri Panglima Safar dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada YBhg. Datuk Hj Muhammad Ruzelme atas dedikasi dan sumbangan besar beliau terhadap keselamatan Sabah. Menurut beliau, kerjasama erat antara Armada Timur dan kerajaan negeri telah membantu mengekalkan kestabilan serta melindungi kepentingan rakyat di kawasan perairan strategik negeri ini.
Majlis tersebut turut menyaksikan sesi perbincangan mesra, pertukaran pandangan, dan penyerahan cenderamata sebagai tanda kenangan. YB Datuk Seri Panglima Safar turut menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada YBhg. Datuk Hj Muhammad Ruzelme.
Kunjungan hormat ini melambangkan hubungan erat antara kerajaan negeri Sabah dan Tentera Laut DiRaja Malaysia, terutamanya dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negeri terus terpelihara.