Kota Kinabalu, 16 Januari 2025 (Khamis) – Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Dato' Hj Zulkifli bin Long, hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP, di pejabat beliau di Aras 28, Blok A, Menara Kinabalu.
Kunjungan ini bertujuan mengukuhkan hubungan antara kerajaan negeri Sabah dan Pulau Pinang, khususnya dalam aspek pentadbiran, pembangunan ekonomi, serta kerjasama strategik di pelbagai bidang.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai isu-isu berkaitan pembangunan negeri masing-masing, termasuk cabaran serta peluang untuk memperkukuhkan sektor pelancongan, pembangunan infrastruktur, dan kebajikan rakyat. Perbincangan turut menyentuh usaha meningkatkan hubungan antara Sabah dan Pulau Pinang menerusi perkongsian kepakaran, inovasi, serta program pembangunan sumber manusia.
Kunjungan ini turut dihadiri oleh Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai, JP, Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya, yang memainkan peranan penting dalam menyokong perbincangan strategik antara kedua-dua negeri.
YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong menyatakan penghargaan terhadap kunjungan hormat ini dan menekankan komitmen Kerajaan Negeri Sabah untuk terus bekerjasama dengan Pulau Pinang bagi merealisasikan agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negeri.
Kunjungan ini mencerminkan keakraban dan semangat kerjasama erat antara Sabah dan Pulau Pinang, selaras dengan aspirasi kedua-dua negeri untuk terus menyumbang kepada kemajuan negara secara keseluruhan.