Sook, 28 April 2025 (Isnin) – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan infrastruktur di daerah Sook, termasuk pembinaan dua jalan raya berturap sepanjang 62.85 kilometer dengan nilai keseluruhan RM447 juta.
Projek-projek berkenaan melibatkan pembinaan Jalan Sinaron, Sook ke Jalan Linayukan, Tongod sepanjang 40km bernilai RM320 juta, serta Jalan Rancangan Belia Tiulon, Sook sepanjang 22.85km dengan kos RM127 juta.
"Jalan berturap ini bukan sahaja memendekkan masa perjalanan dan mengurangkan kos, malah berupaya merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan," kata Hajiji pada Majlis Pelancaran Naik Taraf Daerah Penuh Sook di Perkarangan Bangunan Urusetia Daerah Sook.
Selain itu, empat sekolah baharu – SK Ambual, SK Rancangan Belia Tiulon, SMK Dalit dan SMK Trusmadi – kini dalam pembinaan dan hampir siap sepenuhnya.
Projek menaik taraf kemudahan kesihatan juga telah diselesaikan, termasuk Klinik Kesihatan Sook bernilai hampir RM1 juta serta Klinik Desa Karamatoi dan Marapok masing-masing bernilai RM600,000. Pembinaan Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Sabah Electricity turut siap tahun lalu.
Dalam sektor perumahan, sebanyak 120 unit Rumah Mesra SMJ bernilai RM9.6 juta telah diserahkan kepada penduduk antara tahun 2022 hingga 2024, manakala 80 unit lagi dijangka dibina pada tahun 2025 dengan peruntukan RM6.4 juta.
Sebagai tambahan, kerajaan negeri merancang pembinaan kompleks sukan, hospital daerah, balai polis daerah, serta perluasan Klinik Kesihatan Sook.
Bagi menyokong pembangunan daerah ini, Hajiji turut mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk pembinaan Dewan Terbuka Daerah Sook dan kerja-kerja menaik taraf Bangunan Urusetia Daerah Sook.
"Kerajaan negeri komited memastikan pembangunan yang adil dan seimbang di seluruh Sabah," tegas beliau.