Kota Kinabalu, 16 Jun 2025 – YB Dato' Nara Setia Dato' Zulkifli bin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah di Menara Kinabalu hari ini.
Kunjungan ini bertujuan memperkukuh jalinan hubungan dua hala antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Negeri Sabah serta meneroka peluang kerjasama strategik dalam pelbagai aspek tadbir urus dan pembangunan negeri.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua Setiausaha Kerajaan Negeri telah bertukar pandangan mengenai pelaksanaan inisiatif digitalisasi pentadbiran, pemantapan integriti dalam perkhidmatan awam, serta pendekatan terbaik dalam mempertingkat kecekapan sistem penyampaian kerajaan.
Delegasi Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu turut diberi taklimat mengenai Sabah Digital Government Initiative (SDGI) yang telah dirangka oleh Kerajaan Negeri untuk memantapkan tadbir urus dan penjanaan hasil melalui ekonomi digital.
YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar dalam ucapannya menyatakan komitmen Kerajaan Negeri Sabah untuk terus memperluas kerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri lain, khususnya dalam memperkasa amalan tadbir urus yang cekap dan berintegriti.
“Kunjungan seumpama ini bukan sahaja mempererat hubungan antara negeri, malah menjadi platform perkongsian ilmu dan amalan terbaik yang dapat dimanfaatkan bersama,” ujar beliau.
Turut hadir bersama di pihak Kerajaan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Norlijah Danin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), YBhg. Datuk Dr. Ahemad Sade, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), YBhg. Datuk Sr. Bernard Liew Chau Min, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur serta YBhg. Datuk Jasmine Teo, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri.