Kota Kinabalu, 19 September 2025 (Jumaat) - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan tinjauan ke lokasi tanah runtuh di Country Heights, Penampang pada pukul 2.55 petang tadi.
Dalam tinjauan selama kira-kira 30 minit itu, beliau mendengar taklimat daripada pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan perincian lanjut mengenai bencana berkenaan.
Antara agensi terlibat ialah Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.
Selain meninjau lokasi kejadian, Datuk Seri Anwar turut berkesempatan menyantuni penduduk yang terjejas di sekitar kawasan terbabit.
Tinjauan itu turut disertai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong; dan Ahli Dewan Undangan Negeri Inanam, Datuk Peto Galim.
Selepas lawatan di Penampang, Perdana Menteri dijadualkan meninjau lokasi tanah runtuh di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar tiba di Kota Kinabalu pada pukul 2.02 petang bagi meninjau situasi banjir di Sabah.