Kota Kinabalu, 26 Januari 2026 – YB Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong, hari ini telah menerima Kunjungan Hormat daripada Laksamana Madya Dato’ Khir Junaidi Bin Idris, Panglima Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bertempat di Menara Kinabalu.
Kunjungan hormat ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan strategik serta mempertingkatkan kerjasama antara Tentera Laut Diraja Malaysia, khususnya Armada Timur, dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam aspek keselamatan maritim, kedaulatan perairan serta penyelarasan tindakan antara agensi persekutuan dan negeri.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai situasi keselamatan semasa di perairan Sabah, cabaran keselamatan maritim di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif serta keperluan memperkukuh kerjasama bersepadu bagi menjamin keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan negeri.
YB Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah merakamkan penghargaan atas peranan dan komitmen berterusan TLDM dalam menjaga keselamatan perairan negeri Sabah, di samping menegaskan sokongan penuh Kerajaan Negeri terhadap usaha memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara, khususnya di wilayah timur Sabah yang strategik.
Kunjungan ini mencerminkan hubungan erat dan kerjasama strategik yang kukuh antara Kerajaan Negeri Sabah dan Angkatan Tentera Malaysia dalam memastikan keselamatan, kedaulatan serta kemakmuran negeri dan negara terus terpelihara.






Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah



