Selamat datang ke Portal Rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

     COVID-19  Malaysia.gov energy Sabah.gov  LINKED IN LinkedIn

Aktiviti dan Peristiwa

Sabah Perkukuh Agenda Pembangunan Mampan Melalui SMJ 2.0

Kota Kinabalu, 30 Januari 2026 - Kerajaan Negeri Sabah melakar fasa baharu pembangunan negeri dengan pelancaran Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026–2030, yang menjadi pelan strategik utama untuk melonjakkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi Sabah secara mampan serta inklusif.

Pelancaran SMJ 2.0 disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Datuk Seri Panglima Haji Safar Untong, barisan Jemaah Menteri Negeri, ketua-ketua jabatan serta penjawat awam seluruh negeri.

Dalam ucapannya, Hajiji berkata SMJ 2.0 merupakan kesinambungan kepada SMJ 1.0 yang sebelum ini memfokuskan usaha pemulihan dan penstabilan negeri pasca pandemik COVID-19 serta Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, namun kini diperluas bagi menjawab cabaran global yang semakin kompleks.

“SMJ 2.0 bukan sekadar pelan pembangunan, tetapi bukti kesungguhan kerajaan negeri memimpin perubahan dalam dunia yang bergerak pantas, dipacu kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, perdagangan rentas sempadan dan persaingan global,” katanya.

Beliau menjelaskan, pelan ini dirangka melalui proses libat urus menyeluruh melibatkan Kabinet Negeri, kementerian, pemain industri, golongan belia serta rakyat pelbagai lapisan bagi memastikan pembangunan yang dirancang benar-benar memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan Sabah.

Menurut Hajiji, Belanjawan Negeri 2026 memperuntukkan RM12.02 bilion bagi membiayai 1,173 program dan projek pembangunan, menjadikannya peruntukan tertinggi dalam sejarah negeri, sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) serta aspirasi Malaysia MADANI.

SMJ 2.0 turut disusun selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

Pelan ini berpaksikan empat tonggak utama manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN-17 iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United, dengan lima objektif utama merangkumi pembinaan masyarakat bersatu dan aman, pengoptimuman hasil negeri, kepelbagaian ekonomi, peningkatan ekonomi rakyat serta pembangunan modal insan.

Bagi merealisasikan sasaran tersebut, SMJ 2.0 digerakkan melalui tiga teras utama iaitu Sektor Pertumbuhan Ekonomi yang menumpukan perindustrian, pelancongan dan pertanian; Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat meliputi pendidikan, TVET, STEM serta latihan digital; serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau yang merangkumi infrastruktur asas, tenaga lestari dan pemeliharaan alam sekitar.

Ketiga-tiga teras ini disokong oleh tumpuan kepada Ekonomi Biru, pendigitalan berasaskan AI dan pembangunan inklusif, selain dipacu lima pemboleh daya utama iaitu kemampanan fiskal, kemudahan kewangan, keberkesanan perkhidmatan, tadbir urus berintegriti dan kerajaan digital.

Dalam sektor perindustrian, Hajiji berkata Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai puluhan bilion ringgit, termasuk projek Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd bernilai RM31 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang dijangka mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta mengukuhkan rantaian bekalan industri keluli negeri.

Kerajaan negeri juga akan mempercepat pembangunan dan naik taraf taman perindustrian strategik di KKIP, SOGIP dan POIC Lahad Datu, selain merangka Pelan Induk Perindustrian Kudat bagi menyokong Ekonomi Biru. Dua taman perindustrian baharu di Kota Belud–Kota Marudu dan Beaufort–Kimanis turut dirancang untuk memperluas pembangunan wilayah.
Dalam memperkasa usahawan tempatan, Inisiatif SME-UP menyasarkan 600 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), termasuk pembangunan sistem data perkilangan serta Program Sabah Ready to Eat (RTE) bagi memperluas pasaran produk tempatan.

Sektor pelancongan pula mencatat pemulihan memberangsangkan dengan hampir 10 juta pelancong direkodkan dalam tempoh lima tahun, dan kerajaan negeri akan memberi penekanan kepada pelancongan berkualiti tinggi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Sabah Year 2027, termasuk penganjuran acara antarabangsa serta pematuhan piawaian perkhidmatan global.

Selain itu, pemeliharaan warisan, budaya dan alam sekitar terus diperkukuh melalui pembangunan Pusat Kebudayaan Kinarut, Majlis Seni Negeri Sabah, tapak Warisan Dunia UNESCO serta Taman Teluk Darvel, dengan peruntukan RM444.69 juta di bawah RMK-13.

Dalam sektor pertanian, Hajiji menegaskan ia kekal sebagai teras strategik SMJ 2.0 dengan peruntukan RM580.45 juta meliputi tanaman, ternakan dan perikanan. Sasaran tahap sara diri (SSL) beras akan ditingkatkan daripada 30 peratus kepada 60 peratus menjelang 2030 melalui Program Revolusi Padi, penyediaan jentera moden bernilai RM15 juta serta pembangunan Sabah Agricultural Biotechnology Centre (SABTeC) di Tuaran.

Subsektor ternakan pula menyasarkan 25 peratus SSL ruminan menjelang 2030 melalui Program Perladangan Kontrak, manakala sektor perikanan dipacu menerusi Ekonomi Biru Sabah dengan peningkatan pendaratan ikan, pembangunan pelabuhan serta rantaian hiliran.

Majlis pelancaran itu turut menzahirkan komitmen keseluruhan jentera pentadbiran negeri, yang diterajui Setiausaha Kerajaan Negeri, dalam memastikan pelaksanaan SMJ 2.0 berjalan secara tersusun, berintegriti dan berfokuskan hasil demi kesejahteraan rakyat Sabah.






BINGKISAN INTEGRITI YB SKN
YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

"Pengurangan karenah birokrasi dalam sistem dan prosedur kerja yang lama melalui pendigitalan perkhidmatan kerajaan akan membantu usaha membanteras rasuah, meningkatkan kecekapan serta menggalakkan perubahan sikap penjawat awam"

Bingkisan Integriti
sabah crest faviconPejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
Aras 28, Blok A, Menara Kinabalu,
88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Talian: 088-369900 088-369901
Faksimili: 088-211016
Navigasi Google Maps