Kota Kinabalu, 6 Februari 2026 – Kejayaan serta sumbangan atlet, jurulatih dan penggiat sukan Sabah terus mendapat pengiktirafan apabila Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2023–2024 berlangsung penuh gilang-gemilang di Magellan Sutera Harbour, di sini.
Majlis berprestij itu disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tusin. Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (PBKSEK), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Safar Untong.
Penganjuran anugerah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menghargai pencapaian atlet serta memperkukuh pembangunan sukan di Sabah.
Anugerah Sukan Sabah Ke-17 dimulakan menerusi Segmen 1 yang menampilkan pengiktirafan kepada pengamal media dan jurulatih. Oh Genng Lu dari Daily Express dinobatkan sebagai penerima Anugerah Wartawan Sukan, manakala Anugerah Sukan Multimedia dimenangi Mohd Syaffif Syahran Danny dari RTM.
Dalam kategori kejurulatihan, Wong Hie Ming @ Eva dari sukan Para Renang dipilih sebagai Jurulatih Sukan Wanita Terbaik, sementara Arif Mulis dari sukan Pencak Silat menerima Anugerah Jurulatih Sukan Lelaki Terbaik.
Anugerah Berpasukan Perempuan Terbaik menjadi milik Sabah FA bagi kategori Bola Sepak Wanita, manakala Pasukan Sepak Takraw Lelaki merangkul Anugerah Berpasukan Lelaki Terbaik.
Segmen 2 menyaksikan penyampaian Anugerah Khas kepada empat penerima iaitu Cikgu Chong Man Kuen @ Andrew dari sukan Wushu, Borneo Samudera Sdn Bhd, Sabah Softwood Berhad dan Jetama Sdn Bhd atas sumbangan signifikan mereka kepada pembangunan sukan negeri.
Dalam segmen sama, Eva Anatasia Warren dan Jaethan Jonathan Quan, masing-masing dari sukan Muaythai, dinobatkan sebagai Olahragawati Harapan Negeri dan Olahragawan Harapan Negeri. Anugerah Persatuan Sukan Terbaik Negeri pula dimenangi Persatuan Muaythai Negeri Sabah.
Segmen 3 menampilkan pengiktirafan kepada tokoh kepimpinan sukan dan atlet para apabila Spencer Sooo Kok Heng dari Persatuan Sukan Pekak menerima Anugerah Kepimpinan Sukan Negeri Sabah.
Brenda Anellia Larry dari sukan Para Renang dinobatkan sebagai Olahragawati Para Negeri Sabah, manakala Eddy Bernard dari sukan Para Olahraga menerima Anugerah Olahragawan Para.
Kemuncak majlis dalam Segmen 4 menyaksikan Anugerah Tokoh Sukan Negeri Sabah dianugerahkan kepada Datuk Roslie Ibrahim dari sukan Sepak Takraw.
Sementara itu, Nor Farah Mazlan dari sukan Pencak Silat dinobatkan sebagai Olahragawati Negeri Sabah, manakala Muhammad Asnawi Iqbal Adam dari sukan Pelayaran menerima Anugerah Olahragawan Negeri Sabah.
2
/5
Kecemerlangan Sukan Sabah Disanjung dalam Majlis Anugerah Sukan Negeri
Muhammad Asnawi Iqbal Adam (Sukan Pelayaran) dinobatkan Anugerah Sukan Olahragawan Negeri Sabah.
3
/5
Kecemerlangan Sukan Sabah Disanjung dalam Majlis Anugerah Sukan Negeri
Nor Farah Mazlan (Pencak Silat) dinobatkan Anugerah Sukan Olahragawati Negeri Sabah.
4
/5
Kecemerlangan Sukan Sabah Disanjung dalam Majlis Anugerah Sukan Negeri
Tun Musa diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (dua kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Sukan Negeri Sabah kepada Datuk Roslie Ibrahim dari sukan Sepak Takraw.





Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah



