Selamat datang ke Portal Rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

     COVID-19  Malaysia.gov energy Sabah.gov  LINKED IN LinkedIn

Aktiviti dan Peristiwa

Forum Perdana Ehwal Islam Sabah Semarakkan Penghayatan Ramadan

Kota Kinabalu, 15 Februari 2026 – Forum Perdana Ehwal Islam Negeri Sabah berlangsung dengan penuh penghayatan di Balai Istiadat Istana Seri Kinabalu, di sini, sebagai usaha menyemarakkan persiapan rohani umat Islam menjelang ketibaan bulan Ramadan.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Dr. Haji Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP bersama isteri, YBhg. Datin Seri Panglima Datuk Dr. Hajah Nuinda binti Haji Alias.

Forum yang menghimpunkan kira-kira 150 tetamu jemputan itu mengetengahkan tajuk “Sahaja Aku Berpuasa”, yang menekankan kepentingan niat serta penghayatan sebenar ibadah puasa dalam kehidupan umat Islam.

Pendakwah terkenal, Ustaz Mohamad Kazim Elias tampil sebagai panel utama yang mengupas makna sebenar ibadah puasa, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi sebagai satu ibadah yang menuntut keikhlasan, disiplin diri serta pembinaan akhlak yang lebih baik.

Forum tersebut dikendalikan oleh moderator Ustaz Zakaria Othman, manakala dua lagi panel jemputan ialah Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad serta Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Yasmin Hanani Mohd Safian.

Perbincangan yang berlangsung secara santai namun sarat dengan pengisian ilmiah itu turut menyentuh kepentingan menjadikan Ramadan sebagai medan transformasi rohani dan sosial dalam membentuk masyarakat yang lebih berakhlak dan berintegriti.

Penganjuran forum ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dan institusi berkaitan dalam memperkukuh program keagamaan serta menyemarakkan penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat di Sabah.

BINGKISAN INTEGRITI YB SKN
YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

"Pengurangan karenah birokrasi dalam sistem dan prosedur kerja yang lama melalui pendigitalan perkhidmatan kerajaan akan membantu usaha membanteras rasuah, meningkatkan kecekapan serta menggalakkan perubahan sikap penjawat awam"

Bingkisan Integriti
sabah crest faviconPejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
Aras 28, Blok A, Menara Kinabalu,
88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Talian: 088-369900 088-369901
Faksimili: 088-211016
Navigasi Google Maps