Selamat datang ke Portal Rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

     COVID-19  Malaysia.gov energy Sabah.gov  LINKED IN LinkedIn

Aktiviti dan Peristiwa

Kerajaan Negeri Tandatangani 3 Memorandum Persefahaman (MoU) Dalam SIBES 2022

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan majlis menandatangani 3 Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Kerajaan Negeri, Yayasan Sabah dan para pelabur sempena Sabah International Business and Economic Summit (SIBES) 2022 di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

MoU itu ialah diantara Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah bersama BorneoMed Sdn. Bhd. bagi membangunkan Integrated Herbal Plantation (SIHP), dengan pelaburan bernilai RM350 juta.

Kementerian Pertanian diwakili oleh Setiausaha Tetapnya, Datuk Dr.Mariana Tinggal dan Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof selaku saksi. Sementara BorneoMed diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Ahmad Fauzi dan disaksikan oleh Pengarah Eksekutif syarikat, Encik Francis Sina.

Pelaburan BorneoMed termasuklah dalam teknologi komersil seperti bahan penanaman, teknologi penanaman berketumpatan dan hasil tinggi, sistem Internet Perkara (IOT), pendigitan pertanian pintar, peralatan pemprosesan komersial, sistem pergudangan serta prasarana dan kemudahan lain.

MoU kedua diantara Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah (MID) dan pelabur dari China-SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn. Bhd. bagi membangunkan kilang memproses pasir silica dan menghasilkan panel solar dengan nilai pelaburan permulaan sebanyak RM2 billion.

Menandatangani MoU itu bagi pihak MID ialah Setiausaha Tetapnya, Encik Thomas Logijin dan Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof selaku saksi. Manakala SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn. Bhd. diwakili oleh Presidennya Encik Lin Hai dan Ketua Pegawai Eksekutif SBH Kibing, Encik Yao Xin Xi selaku saksi.

Projek pemprosesan pasir silika dan pembuatan panel solar ini akan membuka 2,000 peluang pekerjaan, di mana 80% akan dikhaskan untuk pekerja tempatan. Keseluruhan operasi dijangka akan dimulakan pada Tahun 2024.

Lokasi kilang panel solar ini akan ditentukan kemudian sama ada di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) atau di Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP), yang memerlukan keluasan 130 ekar. Kejayaan merealisasikan cadangan pelaburan SBH Kibing Group (M) Sdn Bhd adalah hasil kerjasama MID dengan jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang terlibat dalam memudahkan proses pelaburan.

Sementara MoU ketiga diantara Yayasan Sabah dan Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd. untuk pembangunan Pavilion Harbour City dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion.

Yayasan Sabah diwakili oleh Pengarah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd., Datuk Haji Gulamhaidar @ Yusof bin Khan Bahadar, disaksikan oleh Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Encik Hanafiah Diman. Manakala Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd. pula diwakili oleh pengarahnya, Tuan Haji Jameson bin Pias, dan disaksikan oleh Encik Timmy Gan Ve Li, (Pengurus Besar Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd.)

Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd., rakan sekutu Kumpulan Pavilion merupakan sebuah syarikat dan pemaju berpengalaman terkenal dalam pembangunan komersial dan kediaman mewah. Pembangunan ini meliputi kawasan atas laut (sea-land) seluas 30 ekar bersebelahan sempadan Timur Laut SICC dan bakal siap dalam tempoh sepuluh tahun.

Pavilion Harbour City merangkumi kediaman, restoran tepi laut, pasar nelayan, hotel mewah untuk penginapan, peranginan serta aktiviti rekreasi. Jumlah peluang pekerjaan ketika pembangunan dijalankan dianggarkan kira-kira 1,000 orang, manakala lebih kurang 2,000 orang akan mendapat peluang pekerjaan setelah pembangunan selesai kelak.



BINGKISAN INTEGRITI YB SKN
YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

"Pengurangan karenah birokrasi dalam sistem dan prosedur kerja yang lama melalui pendigitalan perkhidmatan kerajaan akan membantu usaha membanteras rasuah, meningkatkan kecekapan serta menggalakkan perubahan sikap penjawat awam"

Bingkisan Integriti
sabah crest faviconPejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
Aras 28, Blok A, Menara Kinabalu,
88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Talian: 088-369900 088-369901
Faksimili: 088-211016
Navigasi Google Maps