Selamat datang ke Portal Rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

     COVID-19  Malaysia.gov energy Sabah.gov  LINKED IN LinkedIn

Aktiviti dan Peristiwa

Penyerahan 206 geran tanah di Pitas, bukti kerajaan komited bantu rakyat

PITAS: Pemberian sebanyak 206 geran tanah adat negeri (NT) kepada penduduk di daerah ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam mempercepatkan permohonan tanah penduduk di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) terus komited dan memberi keutamaan permohonan tanah rakyat.

"Seperti yang kita sedia maklum, proses pengukuran tanah yang diduduki dan diusahakan penduduk kampung setempat diukur oleh JTU melalui Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) yang diperkenalkan sejak lebih 10 tahun lalu.

"Justeru, penyerahan geran pada hari ini membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk meneruskan program PANTAS,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Pekan Baharu Pitas di sini hari ini.

Hajiji berkata, pemberian geran tanah menerusi Program PANTAS dimulakan oleh kerajaan BN pada 2011 bertujuan memastikan pengeluaran geran berstatus NT untuk tanah hak adat anak negeri (NCR) yang sudah lama diduduki bagi mengatasi kelewatan dalam proses permohonan biasa sebelum ini.

Menurutnya, pemberian geran tanah yang dilakukan BN sejak lebih 10 tahun lalu mungkin tidak diketahui rakyat.

"Tetapi kami dalam Kerajaan GRS-BN tidak suka berpolitik sahaja, apa yang kami lakukan sekarang ialah bekerja untuk menunaikan janji kepada rakyat menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

"Banyak lagi program yang akan kita lakukan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan penyerahan dan pewartaan rizab perkampungan bagi 10 kampung dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sawit Kinabalu kepada Pejabat Daerah Pitas.

Pihaknya turut berbincang dengan Pengarah Urusan Sawit Kinabalu agar dapat memberi tanah kepada rakyat sebagaimana ia direalisasikan pada majlis itu.

"Kita tidak mahu rakyat menjadi pelarian di kampung sendiri kerana tidak ada tanah,” katanya sambil berharap rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan GRS BN.

Dalam perkembangan lain, Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, pembangunan Rumah Kedai di Pekan Baharu Pitas membuktikan kesungguhan, keikhlasan dan keprihatinan kerajaan untuk membangunkan negeri ini termasuklah di kawasan luar bandar.

"Kita mahu membawa Pitas yang sebelum ini dianggap sebagai daerah mundur, tetapi dalam kerajaan ini, kita akan membawa lebih banyak kemajuan.

"Inilah agenda dan keutamaan kerajaan bagi memastikan agar setiap rakyat dapat menikmati pembangunan di negeri ini. Saya percaya dengan majlis pecah tanah pada hari ini, bermulalah satu titik tolak pembangunan untuk Pekan Baharu Pitas.

"Saya juga meminta kepada semua pihak sama ada pemimpin, jabatan dan agensi awam, sektor swasta serta seluruh lapisan rakyat agar bekerjasama memastikan pelaksanaan pembangunan komersial di Pekan Baharu Pitas ini berjalan dengan lancar dan siap mengikut tempoh masa yang ditetapkan,” jelasnya.

Projek Komersial di Pekan Baharu Pitas melibatkan pembinaan 68 unit kedai teres dua tingkat sebanyak 52 Unit, kedai dua tingkat sebanyak dua unit dan lot industri sebanyak 14 unit.

Katanya, jika dilihat projek berkenaan boleh dianggap sebagai satu projek mega bagi Pekan Pitas dan pembangunan seumpama itu sudah pasti berupaya menyediakan kemudahan kepada masyarakat di daerah ini seperti peluang pekerjaan dan perniagaan.

BINGKISAN INTEGRITI YB SKN
YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

"Pengurangan karenah birokrasi dalam sistem dan prosedur kerja yang lama melalui pendigitalan perkhidmatan kerajaan akan membantu usaha membanteras rasuah, meningkatkan kecekapan serta menggalakkan perubahan sikap penjawat awam"

Bingkisan Integriti
sabah crest faviconPejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
Aras 28, Blok A, Menara Kinabalu,
88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Talian: 088-369900 088-369901
Faksimili: 088-211016
Navigasi Google Maps